Tuesday, August 31, 2010

Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 53 di W.P.Labuan



Pengarah KML turut serta di dalam perhimpunan.

Foto Kenangan Sambutan Kemerdekaan yang ke-53.

Kontinjen KML


Pada 31 Ogos 2010, di Dataran Labuan seramai 65 orang pelajar mewakili kontinjen KML di dalam perbarisan dalam acara sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-53. 1 Malaysia Menjana Transformasi merupakan tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini. Unit Kemahiran Dinamika sangat bertuah kerana dapat melibatkan diri secara langsung di dalam Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-53 di peringkat W.P.Labuan. Selain dapat mendengar amanat dari pemimpin YB Datuk Kol.(K) Hj. Yussof Hj. Mahal, pelajar dapat mengalami pengalaman sebenar meraikan dan melihat perjalanan majlis yang dianjurkan oleh Perbadanan Labuan. Semua yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang ketika menyanyikan lagu patriotik dan sambutan berakhir dengan sesi memberi ucapan kemerdekaan bersama Labuan FM.

Foto Oleh Abdul Karim.

Monday, August 16, 2010

Ulasan Filem Laskar Pelangi

"Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya". Itulah antara dialog dalam filem Laskar Pelangi yang mempunyai mesej tersendiri, sesuai untuk dijadikan pengajaran masyarakat pada hari ini. Filem genre drama ini diterbitakan pada tahun 2008 oleh Miles Film & Mizan Production berdasarkan novel yang ditulis oleh Andrea Hirata. Laskar Pelangi membariskan pelakon-pelakon berbakat besar seperti Zulfani (Ikal), Ferdian (Lintang), Verry Yamarno (Mahar), Cut Mini (Muslimah), Ikranegara (Pak Harfan) dan ramai lagi.

Kisah yang penuh dramatik ini bermula apabila Sekolah Muhammadiyyah, sekolah kampung di Belitong dengan kemudahan asas yang serba daif, membuka pendaftaran baru untuk murid-murid Kelas Satu. Sehingga saat akhir pendaftaran, hanya 9 orang pelajar yang telah mendaftar, padahal sekolah ini sudah diarahkan untuk ditutup jika murid-muridnya kurang daripada 10 orang. Namun akhirnya Harun, seorang pelajar yang terencat akal, menjadi pelajar terakhir yang mendaftar sekaligus membolehkan Lintang, Mahar, Syahdan, Ah Kiong, Kucai, Samson, Sahara, Trapani, dan Ikal bersekolah seperti biasa di bawah bimbingan Bu Muslimah dan Pak Harfan.

Sebagaimana diceritakan dalam filem ini, 10 pelajar ini memiliki keteguhan hati untuk bersekolah, walaupun guru-gurunya dipaksa oleh Jabatan Pendidikan untuk menutup sekolah tersebut kerana tidak ada pelajar lain selain 10 pelajar ini. Mereka terus gigih mengajar dan mendidik sehingga guru besar sekolah, Pak Harfan meninggal di pejabat meninggalkan Bu Muslimah bersendirian mengajar 10 pelajar.

Jika dilihat dari segi lakonan, barisan pelakon Laskar Pelangi dilihat mendalami setiap watak yang dilakonkan dengan cemerlang. Gerak badan yang bersahaja, intonasi suara yang sederhana telah membuatkan penonton tidak ingin berganjak daripada tempat duduk sepanjang filem ini dimainkan. Contohnya watak Ikal lakonan Zulfani, beliau menjalani kehidupan dengan penuh warna warni, suka duka dan watak ini juga telah jatuh cinta dengan seorang gadis anak tauke Cina yang menjual kapur. Watak Pak Harfan lakonan Ikranegara pula tidak kurang hebatnya. Bertindak selaku guru besar sekolah, beliau mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menerukan pembelajaran di Sekolah Muhammadiyyah dan akhirnya, beliau menemui ajal di sana. Pengorbanan yang tinggi inilah wajar dicontohi oleh kalangan pendidik demi memastikan anak didik mereka berjaya dunia dan akhirat.

Aspek penggambaran pula memperlihatkan keindahan panorama kawasan Belitong, satu daerah terpencil di selatan Indonesia. Pengarah dan penerbit filem bijak mengambil risiko dengan menjalankan penggambaran di kawasan yang sama seperti ditulis dalam novel Andrea Hirata. Ternyata risiko yang dipertaruhkan amat berbaloi. Penonton amat berpuas hati dengan penggambaran, pencahayaan serta lokasi filem yang memaparkan konsep alam semualajadi ciptaan Tuhan yang memukau pemandangan. Dengan mengambil beberapa tempat konsisten seperti Sekolah Muhammadiyyah, bendang/sawah padi, batu-batuan di tepi pantai, pekan Belitong dan turut tidak ketinggalam di sekolah yang bertaraf mewah dengan kelengkapan pembelajaran, telah menjadikan filem ini tidak bosan untuk ditonton kerana penggambaran filemnya yang mengkagumkan.

Kesimpulannya, Laskar Pelangi merupakan filem yang terbaik pernah ditonton setakat ini. Ia mempunyai keunikan yang tersendiri, serta keaslian yang tidak mampu diganggu-gugat oleh mana-mana filem lain yang berunsurkan drama. Sesungguhnya, tidak keterlaluan untuk dikatakan, bahawa filem Laskar Pelangi ini layak diangkat sebagai filem terbaik di festival filem antarabangsa, setimpat dengan penerbitannya yang sangat cemerlang. Syabas dan tahniah buat krew penerbitan filem dan para pelakon Laskar Pelangi yang menjadikan filem ini sangat sesuai dan menarik untuk ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat.

Disediakan oleh:
A1T2
Mohd Azry Hairie Abdul Rajak MA1015517586
Ivy Jacquline Maniset Roman MA105517504
Brenda Lunai Laing MA1015517413
Brenda Alpeus MA1015562518
Nia Christina Anak Linduk MA1015517615
Marlystra Jawai Lee MA1015562597

Malam Ekspresi Dinamika

Peragaan Pakaian Tradisional Pelbagai Etnik

Lagu Patriotik (Berkumpulan)

Lagu Patriotik (Solo)

Deklamasi Sajak

Pada 7 Ogos 2010, Unit Kemahiran Dinamika telah menganjurkan Malam Ekspresi Dinamika di Dewan Mutiara KML. Program ini merupakan aktiviti pelajar Sains Fizikal dan Perakaunan Semester 1 Sesi 2010/2011 yang mengambil subjek Kemahiran Dinamika.

Objektif Malam Ekspresi Dinamika adalah untuk memberi pengalaman sebenar kepada pelajar di dalam mengurus dan menganjur program. Program juga bertujuan memupuk nilai-nilai menghargai hasil kreativiti tempatan dalam pelbagai bentuk dan menyemai semangat kecintaan di kalangan pelajar terhadap kedaulatan dan kemerdekaan negara. Serentak dengan itu program ini dijalankan sebagai pengisian sambutan penghayatan Bulan Kemerdekaan.

Pengisian program Malam Ekspresi Dinamika pada semester ini adalah pertandingan lagu patriotik secara solo dan berkumpulan, sayembara deklamasi sajak karya penulis Labuan dan peragaan pakaian tradisional pelbagai etnik di Malaysia.

Malam Ekspresi Dinamika akan dijadikan satu program wajib bagi semua pelajar yang mengambil subjek Kemahiran Dinamika pada setiap semester. Ini bermakna, pelajar mempunyai peluang dan ruang mengaplikasikan teori di dalam kehidupan sebenar. Kita jumpa lagi di semester hadapan bersama pelajar Sains Hayat mengendalikan Malam Ekspresi Dinamika!

Foto oleh Madeline Liew Szu Hwa.