Bekerja sambilan satu pengalaman. |
Saya menyokong ibubapa atau penjaga yang memberi kebebasan kepada pelajar untuk bekerja sambilan semasa menunggu panggilan surat tawaran ke institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Pengalaman bekerja sambilan dapat memupuk keyakinan diri pelajar berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.Pelajar boleh mendapatkan pengalaman menghadiri sesi temuduga dan penyediaan resume bagi memenuhi syarat pengambilan pekerja di mana-mana organisasi. Kemahiran interpersonal pelajar dapat dikembangkan di dalam situasi yang sebenar. Kemahiran berfikir aras tinggi dapat dipupuk apabila pelajar menghadapi konflik atau situasi yang mencabar di luar norma kehidupan pelajar. Elemen ini sangat penting untuk menyediakan pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran dan mengukuhkan ketahanan diri pelajar dalam pelbagai situasi. Sokongan ibubapa dan penjaga sangat penting dalam hal ini.
Kemahiran berbahasa Melayu dan Inggeris juga boleh dipraktiskan semasa
bekerja secara sambilan. Belajar berkomunikasi secara praktikal memberi
impak yang lebih berkesan. Perasaan rendah diri dan malu boleh diatasi
apabila pelajar 'terpaksa' berkomunikasi dengan penggunaan bahasa yang
sesuai apabila menangani pelanggan. Pengalaman adalah satu keperluan untuk meneruskan kehidupan pelajar yang penuh mencabar pada hari ini.
Satu kajian Part Time Jobs Among Youths (2000) telah dijalankan di Vennesla Secondary School, Norway mendapati walaupun pelajar bekerja, 80% pelajar yang bekerja secara sambilan semasa bersekolah memberitahu pekerjaan sambilan tidak menjejaskan kerja sekolah. Pelajar yang bercuti seharusnya tidak mempunyai alasan untuk tidak bekerja secara sambilan kerana tiada komitmen terhadap kerja sekolah atau tugasan tertentu. Fikir-fikirkan!
Rujukan
Kristin Myrvold, Steinar Heggland, Anne Hjelleset, Anne Siri Skomedal, Kari Telstoe & Marianne Voreland.(2000). Part time jobs among youth. Diambil kembali pada April 4, 2013 dari http://www.vennesla.vgs.no/grid/living/jobs/deltid/deltid.htm