Monday, August 16, 2010

Ulasan Filem Laskar Pelangi

"Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya". Itulah antara dialog dalam filem Laskar Pelangi yang mempunyai mesej tersendiri, sesuai untuk dijadikan pengajaran masyarakat pada hari ini. Filem genre drama ini diterbitakan pada tahun 2008 oleh Miles Film & Mizan Production berdasarkan novel yang ditulis oleh Andrea Hirata. Laskar Pelangi membariskan pelakon-pelakon berbakat besar seperti Zulfani (Ikal), Ferdian (Lintang), Verry Yamarno (Mahar), Cut Mini (Muslimah), Ikranegara (Pak Harfan) dan ramai lagi.

Kisah yang penuh dramatik ini bermula apabila Sekolah Muhammadiyyah, sekolah kampung di Belitong dengan kemudahan asas yang serba daif, membuka pendaftaran baru untuk murid-murid Kelas Satu. Sehingga saat akhir pendaftaran, hanya 9 orang pelajar yang telah mendaftar, padahal sekolah ini sudah diarahkan untuk ditutup jika murid-muridnya kurang daripada 10 orang. Namun akhirnya Harun, seorang pelajar yang terencat akal, menjadi pelajar terakhir yang mendaftar sekaligus membolehkan Lintang, Mahar, Syahdan, Ah Kiong, Kucai, Samson, Sahara, Trapani, dan Ikal bersekolah seperti biasa di bawah bimbingan Bu Muslimah dan Pak Harfan.

Sebagaimana diceritakan dalam filem ini, 10 pelajar ini memiliki keteguhan hati untuk bersekolah, walaupun guru-gurunya dipaksa oleh Jabatan Pendidikan untuk menutup sekolah tersebut kerana tidak ada pelajar lain selain 10 pelajar ini. Mereka terus gigih mengajar dan mendidik sehingga guru besar sekolah, Pak Harfan meninggal di pejabat meninggalkan Bu Muslimah bersendirian mengajar 10 pelajar.

Jika dilihat dari segi lakonan, barisan pelakon Laskar Pelangi dilihat mendalami setiap watak yang dilakonkan dengan cemerlang. Gerak badan yang bersahaja, intonasi suara yang sederhana telah membuatkan penonton tidak ingin berganjak daripada tempat duduk sepanjang filem ini dimainkan. Contohnya watak Ikal lakonan Zulfani, beliau menjalani kehidupan dengan penuh warna warni, suka duka dan watak ini juga telah jatuh cinta dengan seorang gadis anak tauke Cina yang menjual kapur. Watak Pak Harfan lakonan Ikranegara pula tidak kurang hebatnya. Bertindak selaku guru besar sekolah, beliau mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menerukan pembelajaran di Sekolah Muhammadiyyah dan akhirnya, beliau menemui ajal di sana. Pengorbanan yang tinggi inilah wajar dicontohi oleh kalangan pendidik demi memastikan anak didik mereka berjaya dunia dan akhirat.

Aspek penggambaran pula memperlihatkan keindahan panorama kawasan Belitong, satu daerah terpencil di selatan Indonesia. Pengarah dan penerbit filem bijak mengambil risiko dengan menjalankan penggambaran di kawasan yang sama seperti ditulis dalam novel Andrea Hirata. Ternyata risiko yang dipertaruhkan amat berbaloi. Penonton amat berpuas hati dengan penggambaran, pencahayaan serta lokasi filem yang memaparkan konsep alam semualajadi ciptaan Tuhan yang memukau pemandangan. Dengan mengambil beberapa tempat konsisten seperti Sekolah Muhammadiyyah, bendang/sawah padi, batu-batuan di tepi pantai, pekan Belitong dan turut tidak ketinggalam di sekolah yang bertaraf mewah dengan kelengkapan pembelajaran, telah menjadikan filem ini tidak bosan untuk ditonton kerana penggambaran filemnya yang mengkagumkan.

Kesimpulannya, Laskar Pelangi merupakan filem yang terbaik pernah ditonton setakat ini. Ia mempunyai keunikan yang tersendiri, serta keaslian yang tidak mampu diganggu-gugat oleh mana-mana filem lain yang berunsurkan drama. Sesungguhnya, tidak keterlaluan untuk dikatakan, bahawa filem Laskar Pelangi ini layak diangkat sebagai filem terbaik di festival filem antarabangsa, setimpat dengan penerbitannya yang sangat cemerlang. Syabas dan tahniah buat krew penerbitan filem dan para pelakon Laskar Pelangi yang menjadikan filem ini sangat sesuai dan menarik untuk ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat.

Disediakan oleh:
A1T2
Mohd Azry Hairie Abdul Rajak MA1015517586
Ivy Jacquline Maniset Roman MA105517504
Brenda Lunai Laing MA1015517413
Brenda Alpeus MA1015562518
Nia Christina Anak Linduk MA1015517615
Marlystra Jawai Lee MA1015562597

No comments:

Post a Comment