Tuesday, December 18, 2012

Etiket Meja Makan


ETIKET MEJA MAKAN

18 Disember 2012

 

Oleh     Dr. Usang Anak Ngrambang

             Ketua Unit Kemahiran Dinamika

 

Salam sejahtera pelajar KML, berikut adalah beberapa panduan etiket meja makan.

Keperibadian kita semasa majlis makan rasmi   dapat digambarkan melalui penampilan diri semasa majlis berkenaan. Makan bersama orang lain merupakan satu bentuk perkongsian yang amat besar ertinya untuk mewujudkan suatu suasana yang tenteram dan menyenangkan semasa menikmati  juadah.  Berikut adalah beberapa tips yang perlu diberi perhatian semasa makan di majlis makan rasmi.

Perkara yang perlu dilakukan sebelum makan.Keluar dan masuk hendaklah melalui sebelah kanan kerusi tempat duduk anda. Sebaik sahaja duduk (kerusi berhadapan ‘setting’) ambil napkin dan   letakkan di atas riba secara perlahan (bukan dikibas). Jangan mengalih, membelek-belek pinggan dan kutleri (untuk melihat jenama) atau menukar susunannya . Jangan lapkan pinggan/kutleri   (menjatuhkan air muka tuan rumah/pihak hotel).

Perkara yang perlu diberi perhatian semasa majlis makan rasmi ialah seperti berikut. Makanan dihidangkan dari sebelah kiri anda. Minuman dihidang dari sebelah kanan. Pinggan kotor diambil dari sebelah kanan. Peraturan menggunakan kutleri ialah dari luar ke dalam. Sup yang masih panas jangan pula ditiup. Biarkan sup sejuk sendiri. Jangan mengangkat mangkuk dan menghirup terus dari mangkuk. Untuk mengelakkan sup yang dihirup tidak tumpah, waktu menyuap hendaklah    tundukkan kepala sedikit. Menyenduk sup ke arah tengah meja dan di makan dari sisi sudu.

Tunggu semua di meja mendapat makanan (sup/makanan utama) sebelum anda mula makan. Apabila memakan masakan utama seperti steak/ayam atau bahan-bahan pengiringnya, bahagian utama diletakkan hampir dengan anda . Potong kecil-kecil makanan utama dan suap ke mulut satu persatu. Jika hendak bertutur, letakkan kutleri sebentar . Apabila makanan diedarkan dari seorang ke seorang, memadailah anda mengambil bahagian yang terdekat sekali

Jika anda memerlukan krim/susu dan gula untuk kopi, tuang krim/susu dahulu, kemudian gula dan kacau perlahan-lahan. Sedapat mungkin, elakkan daripada merokok di meja makan,  kecuali semasa menghadapi kopi (minta izin daripada tetamu lain dahulu). Elakkan sendawa dan bersin di meja makan. Jika tidak dapat dikawal, tutup mulut anda dengan napkin, tunduk sebelah kiri dan bersin (atau cepat-cepat tahan nafas dengan memicit hidung).

Faktor lain yang perlu diambil berat ialah mengunyah makanan haruslah dengan mulut yang       tertutup agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Jangan bercakap dengan mulut yang dipenuhi makanan. Jangan menggunakan tangan atau sebarang pencongkel gigi. Sebaiknya ia dilakukan di toilet. Ketika di meja makan, jangan pula kamu bersolek dan mendandan rambut. Semua ini         seeloknya dilakukan di toilet. Elakkan merokok di meja makan.

Sekian, terima kasih

No comments:

Post a Comment